Home | Sitemap | Login

   

Peatland News

Title: Jerebu hutan gambut Riau
Date: 05-Mar-2014
Category: Malaysia
Source/Author: Harian Metro
Description: Petaling Jaya: Paras bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di negara ini mencapai tahap tidak sihat berpunca daripada perubahan angin susulan kebakaran tanah gambut dan hutan yang berlaku di wilayah Riau, Indonesia sejak seminggu lalu.

Oleh Mahaizura Abd Malik

Petaling Jaya: Paras bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di negara ini mencapai tahap tidak sihat berpunca daripada perubahan angin susulan kebakaran tanah gambut dan hutan yang berlaku di wilayah Riau, Indonesia sejak seminggu lalu.

Penasihat Kanan Teknikal Projek Hutan Tanah Gambut ASEAN (APFP) di bawah kendalian Pusat Alam Sekitar Global (GEC) Faizal Parish mengaitkan keadaan jerebu yang melanda negara itu turut berpunca akibat kebakaran di Riau.

Beliau berkata, kebanyakan kebakaran yang berlaku di Riau berpunca daripada kerja pembersihan tanah gambut yang dilakukan pemaju ladang dan pekebun kecil di wilayah itu.

“Wilayah Riau yang mempunyai empat juta hektar tanah gambut terdedah kepada kebakaran yang serius apabila kerja pembersihan dilakukan di kawasan itu.

“Kebakaran di tanah gambut boleh menjana asap ratusan kali ganda lebih banyak berbanding asap kebakaran di tanah biasa berikutan ia terhasil daripada bahan tumbuhan terkumpul sejak ribuan tahun lalu.

“Jadi, walaupun di negara kita berlaku kebakaran terbuka dan tanah gambut seperti Sepang, Hulu Selangor dan Kuala Selangor, namun kami melihat kebakaran di Riau menjadi penyumbang ketara kepada peningkatan IPU di negara ini,” katanya, semalam.

Keadaan itu disokong dengan merujuk kenyataan dikeluarkan Ketua Meteorologi, Klimatologi dan Agensi Geofizik (BMKG) berpangkalan di Pekan Baru, Sugarin pada Jumaat lalu yang mengakui perubahan angin yang sebelum ini dari timur berubah arah hingga memberi peluang Singapura dan Malaysia dilanda jerebu.

“Pada ketinggian antara 7,000 hingga 10,000 kaki dari atmosfera, terdapat pusaran yang didapati mengubah arah jerebu ke tempat lain,” katanya.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar semalam, setakat jam 6 petang, IPU yang mencatatkan paras bacaan melebihi 100 iaitu tidak sihat membabitkan Banting, Batu Muda dan Nilai.

Jerebu tebal turut meliputi sebahagian wilayah Riau hingga mencatatkan bacaan IPU tinggi, sekali gus mengakibatkan 30,000 orang terpaksa mendapatkan rawatan kerana masalah pernafasan.

Malah, kebakaran juga dikesan berlaku di Pulau Rupat, Indonesia, kira-kira 40 kilometer dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

Foto

SEORANG wanita berjalan di hadapan Menara Berkembar Petronas yang diselaputi jerebu, semalam.



[ Back ] [ Print Friendly ]