Home | Sitemap | Login

   

Peatland News

Title: MB mahu pemantauan hutan ditingkat elak kebakaran berulang
Date: 10-Oct-2014
Category: Malaysia
Source/Author: Selangor Kini/Naeem Raffi
Description: PUTRAJAYA, 10 OKT: Pemantauan berterusan jabatan terlibat perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian kebakaran tanah gambut di kawasan hutan berulang yang menyebabkan pencemaran udara serius.

PUTRAJAYA, 10 OKT: Pemantauan berterusan jabatan terlibat perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian kebakaran tanah gambut di kawasan hutan berulang yang menyebabkan pencemaran udara serius.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata kawasan tanah gambut berpotensi berlaku kebakaran itu besar dan sukar dikesan kerana ia bermula di bawah tanah.

MB Azmin“Saya minta Jabatan Bomba dan Jabatan Perhutanan mengambil langkah proaktif dalam memastikan masalah ini tidak berulang,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita pada sesi lawatan ke lokasi kebakaran di Pulau Kempas berdekatan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), hari ini.

Katanya, beliau memuji komitmen Pasukan Bomba dan Jabatan Perhutanan Selangor mengawal kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat yang berlaku baru-baru.

Azmin berkata, kaedah ‘Fire Break’ dengan mengali tanah dan membuat parit kecil di sekeliling kawasan kebakaran bertanah gambut itu satu keputusan yang bijak.

“Kaedah water bombing tidak begitu efektif, pasukan bomba terpaksa membina parit sebagai ‘fire break’ dan menyediakan pam-pam berkapasiti tinggi bagi menghalang kebakaran dari terus merebak,” katanya.

Sepanjang tahun ini, sekurang-kurangnya tiga kali kes kebakaran dicatatkan berlaku di Hutan Simpan Kuala Langat iaitu sekitar Februari, Jun dan Ogos lalu.

Kebakaran yang berlaku Februari lalu direkodkan sebagai kebakaran terbesar tahun ini dengan keluasan meliputi 294 ekar yang menelan kos sejumlah RM210,547.53.

Terdahulu, Mohamed Azmin menerima taklimat pelan kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat utara dari Pengarah Perhutanan Selangor, Dr Ahmad Puat Dahlan dan Penguasa Kanan Bomba II, Ketua Zon Selangor Selatan, Azmi Sadon.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.



[ Back ] [ Print Friendly ]