BANDAR PERMAISURI - Daerah Setiu bakal mempunyai tarikan baharu apabila Tasik Berombak yang terletak di kawasan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetland) dekat Kuala Setiu, di sini dipercayai merupakan tasik air tawar semula jadi terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Ketua Stesyen Penyelidikan Tanah Bencah, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Jamilah Salim berkata, tasik itu merupakan satu penemuan baharu oleh UMT dan di peringkat akhir kajian oleh Kumpulan Penyelidik Tanah Bencah UMT serta beroperasi sebagai tarikan pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, tasik yang berkeluasan 1,000 hektar persegi terletak di antara Kuala Setiu dan Kampung Bintang itu menjadi laluan air kepada penduduk kampung tersebut pada suatu masa dahulu.

"Kawasan ini boleh dijadikan kawasan tarikan pelancong kerana mempunyai keunikan tersendiri termasuk kaya dengan flora dan fauna.

"Hasil kajian kami sejak dua tahun lalu mendapati tasik ini pada asalnya sebuah laguna air payau tetapi menjadi tasik air payau sepenuhnya selepas pergerakan lebih jauh dari aras laut sebagaimana sekarang dan pembentukannya lain daripada yang lain," katanya.

Jamilah berkata, sejarah tasik itu menunjukkan satu ketika dahulu ia popular sebagai satu kawasan penangkapan ikan air tawar seperti haruan, toman, bujuk dan belida.

"Kajian yang dibuat mendapati tasik ini merupakan tanah gambut muda yang masih aktif.

"Kawasan ini juga dipenuhi pokok kelapa sawit yang diusahakan secara pajakan. Kita berharap kawasan ini akan terus dipelihara apabila tamat tempoh pajakannya nanti," katanya.

Katanya, tasik itu terbentuk apabila pasir laut mendap dan laut bergerak lebih jauh daripada kawasan itu.

"Kawasan itu terkepung kemudian dimasuki air tawar sepenuhnya lalu menjadikan ia tanah bencah air tawar sepenuhnya. Bahan organik daripada tumbuhan yang terperangkap antara lapisan itu pula menjadikan ia tanah gambut.

“Fungsi utama kawasan tanah gambut ini adalah sebagai kawalan hidrologi iaitu ketika kemarau air, masih ada di bahagian bawah kerana itulah ia di panggil tanah bencah.

"Apabila musim tengkujuh, ia akan menyerap air dan menjadi penebat banjir bagi menakung air. Sementara beberapa kawasan yang dilanda banjir boleh dikawal," katanya.

Tambahnya, Tasik Berombak juga membekalkan air tawar kepada laguna Setiu yang menjadi ekonomi penduduk di situ seperti aktiviti menternak ikan di dalam sangkar.