Home | Sitemap | Login

   

Peatland News

Title: Kebakaran hutan paya gambut Selangor berkurangan
Date: 15-Aug-2018
Category: Peat fire - Malaysia
Source/Author: Selangorkini

KLANG, 15 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan melaksanakan kompaun kepada mereka yang melakukan aktiviti kebakaran hutan secara terbuka di sekitar Johan Setia.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, sehingga kini belum ada sebarang denda dikenakan MPK kerana pihaknya belum dapat mengenal pasti pelaku terbabit.

“Namun, kita akan mengenalpasti pemilik tanah terbabit dan sekiranya mereka gagal untuk memberi penjelasan dengan jelas, kita tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun kepadanya.

“Isunya apabila berlaku kebakaran terbuka ini adalah sukar untuk mengenal pasti pelaku kerana semua orang tidak akan mengaku melainkan kita dapat melihat dengan mata sendiri,” katanya

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Program Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-61 peringkat MPK di Dewan Hamzah, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai sama ada terdapat pengawasan daripada MPK, Mohamad Yasid berkata, Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) sudah ditempatkan 24 jam di kawasan hutan Johan Setia itu untuk mengawal kebakaran terbuka daripada terus merebak.

“Bagaimanapun, pembakaran masih berlaku disebabkan sikap segelintir manusia yang langsung tidak menghiraukan arahan diberikan kerana bagi mereka itu antara jalan mudah serta murah untuk melupuskan sisa tanaman.

“Namun, bagi kita ia seolah-olah menimbulkan bencana kerana keadaan itu akan menyebabkan kawasan sekitar seperti Taman Putra, Sijangkang dan Bandar Botanic terkesan akibat pembakaran tersebut,” katanya.

Katanya, pihaknya komited akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melakukan pembakaran terbuka memandangkan cuaca kini agak panas luar biasa menyebabkan api mudah merebak.



[ Back ] [ Print Friendly ]