Home | Sitemap | Login

   

Peatland News

Title: Pelihara hutan tanah lempab
Date: 23-Mar-2012
Category: Brunei Darussalam
Source/Author: Rafidah Jumaat, Media Permata Online
Description: BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac - Hutan Brunei meliputi kira-kira 75 peratus daripada 576,500 hektar kawasan tanah negara. Dari tujuh jenis hutan yang terdapat di negara ini, tiga darinya dianggap sebagai hutan tanah lembap dan ini termasuk tanah gambut, paya air tawar dan hutan paya bakau yang meliputi kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan kawasan tanah atau 86,648 hektar.

Pelihara hutan tanah lembap

Oleh Rafidah Jumat

Yang Berhormat Pehin menyampaikan ucap tamanya seterusnya merasmikan persidangan antarabangsa hutan tanah lembap.

 


Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para peserta Persidangan Antarabangsa Mengenai Hutan Tanah Lembap.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac - Hutan Brunei meliputi kira-kira 75 peratus daripada 576,500 hektar kawasan tanah negara. Dari tujuh jenis hutan yang terdapat di negara ini, tiga darinya dianggap sebagai hutan tanah lembap dan ini termasuk tanah gambut, paya air tawar dan hutan paya bakau yang meliputi kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan kawasan tanah atau 86,648 hektar.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar dalam ucap tamanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Hutan Tanah Lembap hari ini.

Hutan tanah lembap adalah penyerap karbon penting kerana jumlah besar karbon yang diasingkan dari bahan organik yang tidak reput dan sebahagian yang reput telah terkumpul sejak bertahun-tahun.

Oleh itu, hutan tanah lembap adalah penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.

Tanah lembap juga merupakan habitat penting kepada kepelbagaian-bio dan menyediakan perkhidmatan yang banyak kepada kitaran hidrologi, jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Sebahagian dari hutan ini telah pun dibangunkan sebagai taman rekreasi, contohnya Taman Rekreasi Luagan Lalak yang dijadikan tempat pelancaran Hari Perhutanan Sedunia 2012 yang diadakan kelmarin dan yang lain adalah Taman Warisan ASEAN Tasek Merimbun. Tambah Yang Berhormat Pehin, persidangan ini penting bagi Brunei dalam usahanya untuk mendorong membangunkan ekonomi hijau, yang boleh menjadi tunggak penting kepelbagaian ekonomi.

Brunei sebagai hos persidangan antarabangsa mengenai hutan tanah lembap menunjukkan sebahagian penting usahanya dalam melanjutkan keupayaannya, bukan sahaja dalam pemuliharaan ekosistem yang penting bahkan juga bagi pembangunan mampan generasi Brunei akan datang.

Hutan tanah lembap asli dan yang kekal asli di negara ini akan menyediakan banyak peluang Kajian dan Pembangunan (R&D - Research and Development) yang akan menambah pengetahuan baru kepada pelbagai bidang, dari tanah yang subur, perdagangan karbon, pengurusan hutan yang mampan dan kepelbagaian-bio.

Hutan tanah lembap negara ini masih di bawah kajian dan Brunei, ujarnya, mengalu-alukan kerjasama penyelidikan dalam bidang yang telah dinyatakan.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berharap persidangan ini akan membuahkan hasil terutamanya dalam bidang pengurusan mampan hutan tanah lembap, potensi ekonomi hutan tanah lembap, pelan perniagaan dan tindakan serta strategi bagi hutan tanah lembap.

Persidangan selama dua hari yang bertemakan Kepelbagaian-Bio Hutan: Ke arah Ekonomi Hijau itu telah mengundang 13 penceramah dan dihadiri sekitar 200 peserta.

http://www.mediapermata.com.bn/jumaat/mar23t5.htm



[ Back ] [ Print Friendly ]